Showing posts with label Mahathir. Show all posts

Mutiara Kata Tun Mahathir Buat Rakyat Malaysia


Blog Menteriku kongsikan sebahagian nasihat dari negarawan tercinta yakni bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai.



 Sewaktu kecil, saya belanjakan wang yang diberi ibu bapa saya untuk beli buku pada hari minggu.

Saya banyak membaca buku Bahasa Inggeris, jadi sebab itu saya fasih dalam pertuturan Bahasa Inggeris. Dari kecil lagi saya meletakkan kepercayaan tinggi, apabila kita buat berulang kali untuk sesuatu perkara, tidak dapat tidak, kita akan jadi cekap, termasuk membaca buku.

Jika anda banyak membaca, otak anda makin cekap. Apa yang anda bakal capai 3-5 tahun, adalah dari apa yang anda baca sekarang. Usah berkira untuk belanja wang ringgit untuk dapat bahan bacaan. Nilainya bukan pada apa yang kita keluarkan (wang ringgit), tetapi pada apa yang kita akan dapat nanti (ilmu).


 
Ketika darjah 4, Jepun serang Tanah Melayu. 3 tahun saya tidak bersekolah. Masa itu saya hairan bagaimana Jepun boleh kalahkan British. Walhal ketika itu, orang Melayu kebanyakan mengandaikan sangat mustahil untuk pihak Britih kecundang, lagi-lagi di tangan Jepun. Sebab itu anda boleh lihat dimana Jepun sekarang berbanding kita. Jika mereka mahu lakukan sesuatu perkara, mereka rancang dengan strategi yang sistematik. Dari sekecil-kecil hal sehingga hal yang berat.



Di seluruh Alor Star, banyak kedai orang Cina. Pekan Melayu, tetapi kebanyakan yang ada adalah kedai cina. Saya tanya diri saya kenapa begini. Orang Melayu ketika itu anggap berniaga itu kerja yang hina. Dapat gaji adalah kerja mulia. Mudah kata, baru ada status, baru ada ‘style’. Saya rasa tidak sedap hati. Majoriti orang melayu, masa itu nelayan, petani. Rata – rata miskin, saya kasihan lihat mereka. Saya nampak kita perlu ubah mindset begini.

 Masa Jepun kalah, British kembali semula ke Tanah Melayu. Kita orang Melayu, seronok sakan pula. British datang, kata mahu gubal cara pemerintahan, mereka rancang mahu asaskan Malayan Union, mahu jadikan Tanah Melayu sebagai tanah jajahan British. 

Secara tidak langsung, raja diturunkan pangkat, mereka akan berkuasa sepenuhnya termasuk hal perundangan. Ketika itu orang Melayu marah, baru nak marah. 

Ketika itu usia saya belasan tahun, saya sangat bergerak aktif. Waktu malam, saya tampal poster, protes terhadap British.







1 tip untuk jadi pemimpin yang mulia di mata rakyat. Tahu apa yang orang bawahan mahu. 

Anda buat, rakyat akan suka. Saya suka pemimpin yang boleh bawa individu dari orang kebiasaan jadi orang berjaya. 

Selain itu, pemimpin pertama yang saya kagum dan contohi adalah Rasulullah S.A.W. Kedua, Peter The Great, pemimpin dari Russia. Dan ketiga, Nelson Mandela, pejuang kemerdekaan Afrika Selatan.









Untuk melakukan sesuatu perkara, lakukan dengan penuh disiplin. Contohnya untuk majlis hari ini di MMU Cyberjaya, slot saya adalah pada jam 4 petang, saya sampai sebelum pukul 4.00 petang. Dan ya, saya buktikan pada anda hari ini.

 Jangan ikut keseronokan yang melampau. Sebagai contoh, orang Melayu sekarang suka jadi mat rempit dari teruskan pelajaran dari universiti. Dahulu lain, dapat tawaran universiti, kita dahulu melompat-lompat suka. Melayu sekarang perlu sedar. Tidak rajin belajar ilmu baru, anda tidak akan berjaya.
 
Buat kerja dengan amanah, jujur. Dahulu saya cipta slogan, “Bersih Cekap Amanah”. Kalau kita latih diri sebagai orang disiplin, dan andai kita ikuti prinsip yang dibawa slogan itu, negara kita akan maju lebih dari negara maju yang lain.


 Apa yang golongan muda boleh buat untuk negara? Jawapan saya, perlu kuasai segala hal demi keluarga, masyarakat, negara. Jika hasil tidak nampak sekarang, itu kerja Tuhan, kita ikhtiar, kita mohon doa pada Dia. Yang pastinya, dengan izin Allah hasil pengorbanan kita dahulu, anak cucu kita akan hidup senang lenang. Begitu juga perihal kemerdekaan. Kemerdekaan negara pada hari ini adalah hasil pengorbanan dari nenek moyang kita pada zaman mereka.

Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir Mohamad

Tun Dr Mahathir Mohamad dilahirkan pada 20hb. Disember, 1925 bersamaan 4 Jamadilakhir 1344, di No. 18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Star, Kedah. Ayahnya, Mohamad bin Iskandar adalah guru bahasa bahasa Inggeris, dikenali dengan panggilan "Master", juga adalah Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Maktab Sultan Abdul Hamid. Antara murid-murid ayahnya termasuklah Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Dr. Mahathir adalah anak bongsu dari sembilan adik beradik (lima lelaki dan tiga perempuan) Ibunya, Wan Tempawan binti Wan Hanafi mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' (Wan Mohamad Saman Canal atau Sungai Korok).

Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak dan kemudiannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star di mana beliau tamat pelajaran menengah di peringkat Senior Cambridge. Pada tahun 1948, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Universiti Malaya, Singapura dan lulus dengan Ijazah MBBS pada tahun 1953.

Setelah lulus, Dr. Mahathir bertugas sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, beliau dilantik menjadi pegawai perubatan dan pernah bertugas di Hospital Besar Alor Star, Pulau Langkawi dan Perlis. Pada tahun 1957, beliau meninggalkan perkhidmatan perubatan dan membuka kliniknya sendiri yang dikenali sebagai MAHA Klinik, mula-mula di Jalan Tunku Ibrahim dan kemudian berpindah ke Pekan Melayu, Alor Star. Ini merupakan klinik anak Melayu yang pertama di Alor Star.

Penglibatannya dalam politik bermula pada tahun 1945 apabila beliau bergerak cergas dalam beberapa kesatuan, antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan akhirnya dalam UMNO. Sewaktu di Universiti Malaya, Singapura beliau bersama dengan beberapa orang pelajar Melayu yang sedar telah mengemukakan satu memorandum menentang cadangan undang-undang kerakyatan yang dibuat oleh Jawatankuasa Perhubungan Kaum mengikut arahan British.

Dr. Mahathir buat pertama kalinya bertanding dalam pilihanraya umum sebagai calon Perikatan bagi Kawasan Parlimen Kota Star Selatan pada tahun 1964. Dengan kemenangannya dalam pilihanraya itu, beliau menjadi seorang 'back bencher' yang aktif dalam mengemukakan berbagai pendapat dan syor untuk pertimbangan Kerajaan. Bagi menghadapi propaganda Regim Sukarno terhadap Malaysia, beliau telah mengetuai rombongan Malaysia ke Persidangan Afro-Asian Peoples Solidarity Organisation di Ghana dan juga ke Persidangan World Assembly of Youth di Amherst, Amerika Syarikat. Pada masa itu sudah ternampak kecenderungannya terhadap satu dasar luar yang lebih bebas dan imaginatif supaya dapat menjamin keselamatan Malaysia serta penerimaannya oleh negara-negara lain.

Dalam pilihanraya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum itu, Dr. Mahathir tewas di tangan calon PAS. Beliau seterusnya dipecat dari UMNO kerana perselisihan pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7hb. Mac 1972 dan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974, beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak.

Perlantikan ini mengiktiraf minat Dr. Mahathir yang mendalam dalam bidang pengetahuan dan pendidikan. Pada tahun 1966 lagi beliau telah dilantik sebagai Pengerusi yang pertama Majlis Pelancaran Tinggi yang baru ditubuh.

Pada tahun 1972 beliau menjadi Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah menjadi Ahli Universiti Court, Universiti Malaya. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah membuat banyak perubahan-perubahan ke arah memesatkan lagi perkembangan pelajaran termasuk menambah bilangan pelajar-pelajar Melayu di pusat-pusat pengajian tinggi. Dr. Mahathir pada kemudian hari berusaha menubuhkan Universiti ke 6, dikenali dengan Universiti Utara Malaysia.

Dengan kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdul Razak pada awal tahun 1976, Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang baru telah melantik Dr. Mahathir sebagai timbalan Perdana Menteri. Ketika dilantik ke jawatan itu, Dr. Mahathir merupakan salah seorang Naib Presiden UMNO. Beliau mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Pelajaran. Dalam rombakan Kabinet pada 1hb. Januari, 1978, beliau berubah "portfolio" dari Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1978, Dr. Mahathir memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding dan dalam Perhimpunan Agung UMNO Jun 1981 menjadi Presiden, juga tanpa bertanding. Berikutan dengan keputusan Tun Hussein Onn meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir secara otomatis menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Tun Dr Mahathir Mohamad


Tun Dr Mahathir Mohamad


Tun Dr Mahathir Mohamad