TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG 2010

PARLIMEN MALAYSIA

MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA PARLIMEN KEDUA BELAS - 15 MAC 2010

TITAH SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG AL-WATHIQU BILLAH TUANKU MIZAN ZAINAL ABIDIN IBNI ALMARHUM SULTAN MAHMUD AL-MUKTAFI BILLAH SHAH
Bismillaahir Rahmaanir Rahiim Al-hamdulillahi Rabbil 'Alamin Wabihi Nasta'in Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Salam Sejahtera.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat sekalian.

Alhamdulillah, Beta memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin serta limpah kurnia-Nya, dapat Beta dan Raja Permaisuri Agong bersama-sama berangkat hadir ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Kedua Belas pada hari ini.

2.
Beta juga turut memanjatkan kesyukuran di atas nikmat kemakmuran, keselamatan dan keamanan yang dikecap oleh negara selama ini. Beta sentiasa berdoa agar negara kita terus maju dan rakyat hidup dalam harmoni serta menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada tanah air yang tercinta.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
3.
Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga ini merupakan yang pertama Beta menyampaikan titah sejak Mamanda Perdana Menteri Beta memegang tampok kepimpinan negara. Beta mengucapkan tahniah kepada Mamanda Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menterinya kerana sejak 11 bulan yang lalu, Kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri telah berjaya melaksanakan pelbagai program demi meningkatkan kesejahteraan rakyat. Para pemimpin hendaklah mencontohi Mamanda Perdana Menteri dengan turun padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami dengan lebih dekat akan masalah mereka dan jalinkan hubungan yang rapat dengan rakyat di semua peringkat.
4.
Beta menyambut baik Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Beta telah menetapkan 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA yang perlu dicapai iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menambah baik pengangkutan awam, memerangi rasuah, mengurangkan kadar jenayah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah. Sesungguhnya, Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan pada 28 Januari 2010 adalah satu program yang berani. Beta sukacita rakyat menyambut baik akan komitmen-komitmen Kerajaan tersebut. Rakyat hendaklah berganding bahu bersama-sama Kerajaan Beta agar Program Transformasi Kerajaan berjaya dilaksanakan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
5.
Alhamdulillah, ekonomi negara kini semakin pulih daripada kesan kemelesetan ekonomi global dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar suku keempat tahun 2009 kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.5 peratus, iaitu lebih baik daripada unjuran 3 peratus. Perkembangan yang
menggalakkan ini antara lain adalah hasil pelaksanaan 2 pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion serta disokong oleh permintaan dalam dan luar negara yang semakin kukuh. Walaupun kemelesetan ekonomi global telah mengakibatkan pelbagai kesukaran, namun terdapat hikmah di
sebaliknya. Ini telah mendorong semua pihak berusaha menggunakan sepenuhnya sumber dan peluang yang ada untuk membawa negara keluar daripada kesukaran tersebut. Beta sukacita dengan usaha Kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri yang telah menjadikannya satu peluang untuk mentransformasikan negara ke arah masa hadapan yang lebih baik.
6.
Kerajaan Beta amat komited dalam memastikan projek-projek pembangunan disiapkan mengikut jadual, berkualiti dan memberi pulangan setimpal dengan peruntukan yang dibelanjakan. Untuk ini, aspek pemantauan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan ianya mencergaskan aktiviti ekonomi negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat. Semua agensi Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada impak dan keberkesanan program serta projek berbanding mementingkan output semata-mata.
7.
Kerajaan Beta telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk pelbagai subsidi bagi meringankan bebanan rakyat. Pada tahun 2009 sahaja sebanyak RM24.5 bilion telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut. Pemberian subsidi bukan sahaja dinikmati oleh golongan sasar malahan turut dikecap oleh mereka yang tidak layak, misalnya golongan berpendapatan tinggi dan warga asing. Pemberian subsidi akan distruktur semula dan dikurangkan secara berperingkat. Walau bagaimanapun, kumpulan sasar seperti kumpulan mudah miskin akan terus dibantu agar mereka tidak terbeban. Justeru, Beta menyeru agar rakyat berpandangan jauh dan bersedia menerima perubahan ini.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
8.
Usaha Kerajaan Beta memperkenalkan model ekonomi baru untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju adalah satu langkah berpandangan jauh. Model ini memberi penekanan kepadainovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi. Beta menyeru semua pihak supaya bersama-sama menjayakan matlamat tersebut demi negara tercinta. Tumpuan akan terus diberi kepada bidang-bidang yang negara mempunyai kelebihan, berpotensi dan rantaian nilai tambah yang tinggi serta dapat menjana pulangan yang lebih besar. Ini termasuk sektor perkhidmatan terutamanya kewangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan dan perdagangan. Pada masa yang sama, sektor-sektor lain seperti pembuatan, pertanian dan komoditi akan terus diberi keutamaan.
9.
Beta bangga dengan kepakaran Malaysia dalam perbankan Islam dan kedudukan Malaysia sebagai pusat sukuk terbesar dunia dengan menguasai lebih 60 peratus pasaran sukuk global. Pemulihan ekonomi global hendaklah digunakan sebagai peluang untuk menarik lebih banyak syarikat menjadikan Malaysia sebagai pusat untuk menerbit sukuk, memandangkan Malaysia mempunyai prasarana dan persekitaran pasaran yang kondusif.
10.
Usaha Kerajaan Beta meliberalisasikan peraturan berkaitan sektor pembuatan dan perkhidmatan secara komprehensif dan garis panduan berkaitan pemilikan ekuiti asing akan meningkatkan lagi proses pemindahan teknologi dan bina upaya tempatan. Langkah ini turut menggalakkan lagi pelaburan asing dan memperkukuhkan keupayaan serta daya saing industri tempatan.
11.
Memandangkan perusahaan kecil dan sederhana atau PKS merupakan 99 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia, maka pelbagai program pembangunan akan dipertingkatkan untuk mentransformasikan PKS agar lebih berdaya saing dan menghasilkan nilai yang tinggi.
12.
Dalam memantapkan rantaian nilai tambah tinggi, sektor perdagangan pengedaran dan aktiviti yang berkaitan juga merupakan antara penyumbang penting untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Selaras dengan ini, Pelan Induk Perdagangan Pengedaran akan diperkenalkan bagi menggalakkan pembangunan sektor tersebut. Aktiviti koperasi dan francais juga akan terus diberi sokongan supaya menjadi antara pemangkin utama dalam sektor perdagangan pengedaran.
13.
Beta sukacita sektor pelancongan terus kekal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan sumber pendapatan pertukaran wang asing. Langkah-langkah akan terus dipertingkatkan untuk menggalakkan kedatangan pelancong yang berbelanja besar dan tinggal lebih lama dengan menggiatkan pembangunan produk-produk pelancongan berimpak tinggi.
14.
Dalam usaha untuk memperkasa dan mentransformasikan sektor pertanian, satu dasar baru berkaitan sektor agro-makanan akan digubal. Dasar ini meliputi usaha-usaha ke arah meningkatkan pengeluaran makanan tempatan bagi menjamin bekalan makanan yang selamat dan mencukupi, meningkatkan produktiviti dan daya saing serta melibatkan penyertaan aktif pihak swasta.
15.
Kerajaan Beta akan terus menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam sektor komoditi bagi menghasilkan teknologi dan inovasi yang boleh meningkatkan produktiviti sektor tersebut. Manakala, penghasilan produk-produk baru bernilai tambah tinggi dan penerokaan pasaran baru turut diberikan penekanan.
16.
Kerajaan Beta juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan industri aeroangkasa dengan menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebagai Pusat Aeroangkasa Antarabangsa Malaysia. Insentif-insentif tertentu akan dipertimbangkan sebagai sokongan kepada pembangunan industri tersebut.
17.
Sukan turut berpotensi menjadi industri yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi negara. Industri ini berupaya mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan pengeluaran produk yang berkaitan sukan, menjana pendapatan daripada pengiklanan dan penjualan masa siaran serta menggiatkan industri pelancongan berkaitan sukan. Untuk memajukan industri tersebut, para atlet hendaklah meningkatkan prestasi ke tahap tertinggi dan persatuan-persatuan sukan meningkatkan aspek pengurusan agar sukan dapat diuruskan dengan cekap. Masyarakat pula hendaklah tidak melihat sukan sebagai kegiatan riadah semata-mata sebaliknya sebagai kerjaya yang boleh membawa pendapatan tinggi.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
18.
Sesungguhnya, dalam era persaingan global, kejayaan masa hadapan negara memerlukan modal insan yang berpengetahuan, kreatif, berintegriti, memiliki daya usaha yang kuat dan semangat keusahawanan yang tinggi. Sehubungan ini, pembangunan modal insan secara holistik akan melibatkan pengukuhan keseluruhan sistem pendidikan negara bagi memastikan setiap individu berpeluang untuk menyerlahkan potensi dan bakat secara maksimum.
19.
Beta menyambut baik usaha untuk memperluaskan akses kepada pendidikan prasekolah, meningkatkan penguasaan literasi dan numerasi murid serta membangunkan sekolah berprestasi tinggi. Semua sekolah sama ada sekolah Kerajaan atau sekolah bantuan Kerajaan sentiasa mendapat perhatian Kerajaan Beta. Beta juga mengalu-alukan langkah syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan menjadikan sekolah-sekolah tertentu sebagai anak angkat bagi mempertingkatkan pencapaian sekolah-sekolah tersebut.
20.
Berikutan kejayaan Program PERMATA Negara, Kerajaan Beta akan memperkasakan lagi program tersebut dengan memperkenalkan beberapa program baru seperti PERMATA Pintar, PERMATA Seni, PERMATA Insan dan PERMATA Remaja. Program ini akan melahirkan generasi baru yang akan memacu negara ke masa hadapan yang lebih cemerlang.
21.
Dasar baru pendidikan yang antaranya memartabatkan Bahasa Malaysia, memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris serta meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi akan memantapkan lagi sistem pendidikan negara. Penekanan juga akan diberikan kepada bidang kemahiran vokasional, transformasi kurikulum dan sistem penilaian pelajar secara holistik. Sebagai kesinambungan kepada usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dan menepati kehendak pasaran, institusiinstitusi pengajian tinggi awam dan institusi-institusi latihan akan menilai semula kurikulum dan mempertingkat kolaborasi dengan pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran dan keusahawanan graduan. Pada masa yang sama, usaha mentransformasikan politeknik ke arah politeknik premier dan politeknik metro serta kolej komuniti menjadi hab pembelajaran sepanjang hayat sedang dilaksanakan.
22.
Manakala golongan belia, yang terdiri daripada 40 peratus penduduk negara adalah merupakan pelapis kepimpinan pada masa hadapan dan aset terpenting negara. Beta berharap bakat dan potensi mereka akan digembleng dan Beta menyeru golongan belia supaya mengubah cara berfikir dan bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
23.
Beta menyambut baik Dasar Inovasi Negara yang akan menjadi rangka tindakan kepada pelaksanaan agenda inovasi bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi. Sehubungan ini, Pusat Inovasi Negara akan ditubuhkan sebagai pusat sehenti bagi pihak akademia, industri, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan mencetuskan idea dalam usaha meningkatkan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan. Pengisytiharan Malaysia Inovatif 2010 akan menyemarakkan lagi budaya inovasi dan kreativiti di kalangan rakyat.
24.
Usaha Kerajaan Beta untuk beralih pantas kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan merancakkan aktiviti K-intensif memerlukan rangkaian infostruktur berkualiti tinggi. Sehubungan ini, Beta berharap sasaran penembusan jalur lebar kepada 50 peratus daripada isi rumah dan liputan selular kepada 97 peratus kawasan berpenduduk dapat dicapai pada akhir tahun ini. Bagi memastikan penyampaian maklumat lebih cepat, kos efektif dan mesra pengguna, pangkalan data interaktif akan terus dipertingkatkan.
25.
Kerajaan Beta juga komited untuk memajukan industri kreatif yang berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Di samping mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, industri tersebut juga berupaya menjadi pemangkin bagi memupuk budaya dan menyemai identiti nasional.
26.
Bagi menyokong matlamat untuk memacu pelaksanaan model ekonomi baru, pembangunan sektor tenaga akan diberi tumpuan bagi memastikan bekalan tenaga yang terjamin, kos efektif dan mesra alam. Dasar tenaga yang baru akan digubal meliputi usaha mempelbagaikan sumber tenaga negara terutamanya hidro dan sumber tenaga boleh diperbaharu serta mendorong penggunaan tenaga secara cekap dan pengagihan secara kos efektif. Peralihan kepada pembangunan tenaga berasaskan teknologi hijau adalah satu langkah yang bijak dan berpandangan jauh.
27.
Teknologi hijau akan memainkan peranan penting sebagai jentera pertumbuhan baru negara. Pelbagai inisiatif telah diambil untuk memacu pembangunan teknologi ini termasuk menyediakan pelbagai insentif kepada syarikat-syarikat yang membekal dan memanfaatkan teknologi tersebut.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
28.
Perkhidmatan Awam yang cekap, berkesan dan pantas dalam memberi respons serta berintegriti amat penting untuk menyokong peralihan kepada model ekonomi baru. Oleh itu, Beta menyeru supaya inovasi menyeluruh dilaksanakan bagi mentransformasikan sistem penyampaian Perkhidmatan Awam. Ini adalah selaras dengan peranannya sebagai pemudahcara kepada masyarakat perniagaan dan pelabur.
29.
Beta prihatin terhadap pandangan masyarakat mengenai rasuah. Beta mengalu-alukan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Beta untuk memerangi rasuah. Beta berharap rakyat akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan dan melaporkan jenayah tersebut dengan penuh tanggungjawab. Sehubungan ini, Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat sedang digubal bagi melindungi pengadu yang membuat pendedahan rasuah.
30.
Kerajaan Beta akan terus memainkan peranan yang aktif di peringkat antarabangsa bagi memastikan Malaysia terus bersuara, menyumbang pandangan dan tenaga untuk menjamin keamanan, keselamatan dan kemakmuran dunia. Beta sukacita dengan kemajuan kerjasama serantau terutamanya pewujudan Piagam ASEAN dalam usaha untuk membentuk Komuniti ASEAN menjelang 2015. Dasar luar dan kepentingan negara akan terus dipromosi dan dipertahankan bagi memastikan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang dengan negara-negara asing terus berkembang.
31.
Dalam usaha meningkatkan lagi keupayaan negara untuk bersaing bagi mendapatkan pasaran perdagangan yang lebih luas dan eksklusif serta menarik pelaburan asing, Kerajaan Beta komited untuk melaksanakan proses liberalisasi perdagangan dan mengambil langkahlangkah mengenal pasti negara dan rantau yang berpotensi untuk diadakan perjanjian dan memulakan rundingan perdagangan bebas.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
32.
Semua program dan projek yang dilaksanakan akan berasaskan kepada keperluan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Selaras dengan ini, Kerajaan Beta akan terus membela nasib golongan berpendapatan rendah dan yang memerlukan. Bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa, Jaringan Keselamatan Sosial telah diperluaskan dan kecekapan penyampaian bantuan dipertingkatkan di mana ia dapat disampaikan kepada penerima pada setiap 1 hari bulan. Pada masa yang sama, Kerajaan Beta akan melaksanakan pendekatan kebajikan produktif bagi mengurangkan kebergantungan golongan berpendapatan rendah kepada bantuan kebajikan.
33.
Kerajaan Beta akan terus mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar. Sehubungan ini, pembangunan infrastruktur asas luar bandar akan diperluas dan dipercepatkan pelaksanaannya meliputi pembinaan jalan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak. Kesejahteraan dan kebajikan rakyat di bandar dan luar bandar serta yang jauh di kawasan pedalaman akan sentiasa diberi perhatian.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
34..
Bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan masyarakat di luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, program Lonjakan Mega Luar Bandar yang bermatlamat menghapuskan kemiskinan tegar melalui pelaksanaan projek-projek agropolitan akan terus dilaksanakan.
35.
Usaha-usaha membangunkan generasi baru FELDA akan diteruskan melalui program latihan kemahiran yang meliputi kerjasama dengan pihak swasta dalam bidang berprofil tinggi serta mempunyai pasaran kerja yang baik. Di samping itu, lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di tanah rancangan atau kawasan berhampiran yang sesuai. Ini akan menggalakkan lebih banyak pusat pertumbuhan baru dan mengurangkan penghijrahan belia ke bandar.
36.
Kerajaan Beta juga prihatin akan kebajikan dan kesejahteraan golongan rakyat berpendapatan rendah di bandar. Kerajaan Beta akan terus berusaha menyediakan kemudahan perumahan yang selesa dilengkapi dengan prasarana asas bagi kesejahteraan golongan ini. Langkah membolehkan rakyat memiliki rumah sendiri dengan membeli rumah di bawah Program Penjualan Projek Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah satu usaha murni. Beta berharap langkah yang serupa akan dapat dilaksanakan di seluruh negara.
37.
Sebagai usaha mengurangkan bebanan rakyat bagi mendapatkan rawatan perubatan, Kerajaan Beta telah memperkenalkan Klinik 1Malaysia yang kini semakin popular di kalangan rakyat. Beta berharap lebih banyak program kesejahteraan rakyat seumpama ini dapat dilaksanakan. Di samping inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, rakyat juga hendaklah bertanggungjawab ke atas kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk beriadah, mengurangkan pengambilan gula, berhenti merokok dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
38.
Kepentingan dan kebajikan golongan wanita terus mendapat perhatian Kerajaan Beta. Bagi membangunkan sepenuhnya potensi wanita dalam semua bidang, Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita yang komprehensif telah disediakan. Ini menjadi asas kepada Kerajaan, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan untuk melaksanakan program pembangunan wanita yang lebih mantap dan berkesan.
39.
Kerajaan Beta sentiasa prihatin terhadap golongan orang kurang upaya untuk menjalani kehidupan inklusif bersama-sama anggota masyarakat yang lain. Beta menyeru sektor swasta khususnya agar memberi peluang pekerjaan kepada golongan ini supaya mereka bersamasama dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Rakyat juga hendaklah lebih prihatin kepada keperluan kumpulan ini.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
40.
Beta maklum akan keresahan rakyat yang tidak berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam terutamanya di Lembah Klang. Sehubungan ini, langkah-langkah sedang diambil untuk mempertingkatkan pengangkutan awam, namun perubahan tidak dapat dilakukan dalam sekelip mata kerana penyediaan infrastruktur, tenaga kerja yang terlatih dan perolehan aset mengambil masa serta perbelanjaan yang besar.
41.
Beta bangga dengan komitmen Kerajaan Beta terhadap isu perubahan iklim dan pemanasan global yang boleh menjejaskan alam sejagat. Sehubungan ini, Malaysia telah mengumumkan penetapan secara sukarela sasaran bagi mengurangkan pelepasan gas-gas rumah hijau sebanyak 40 peratus berasaskan intensiti karbon menjelang tahun 2020 berbanding tahun 2005 tertakluk kepada syarat-syarat antaranya pemindahan teknologi dan bantuan kewangan. Komitmen Kerajaan ini memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak bagi menjayakannya.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
42.
Beta ingin mengingatkan bahawa perpaduan dan saling hormatmenghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara mesti dipelihara. Amalan berbaik sangka, saling menghormati dan bekerjasama antara rakyat pelbagai kaum dan agama akan melahirkan masyarakat Malaysia yang mesra, aman dan bertoleransi. Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama-agama lain bebas untuk diamalkan hendaklah dihormati. Beta menyeru semua pemimpin agama supaya memupuk rasa tanggungjawab untuk memelihara keharmonian beragama di kalangan penganut agama masing-masing.
43.
Kebebasan bersuara adalah antara ciri masyarakat yang demokratik dan matang. Namun, kebebasan bersuara bukanlah satu alasan untuk mana-mana pihak memburuk-buruk pihak lain sehingga mencetuskan api perbalahan dan sentimen perkauman. Beta amat dukacita kerana ada pihak-pihak di dalam dan luar negara mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh sehingga menggadaikan ketenteraman awam dan maruah negara. Beta menyeru semua pihak supaya mengambil iktibar dari titik hitam dalam sejarah negara dan mengelak daripada mencetuskan isu-isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian hidup rakyat.
44.
Beta juga dukacita kerana masih terdapat banyak perbuatan fitnah, pembohongan dan putar belit fakta terutamanya dalam media baru. Semua yang terlibat hendaklah sedar perbuatan ini tidak diterima oleh mana-mana agama. Beta menyeru pihak-pihak berkenaan menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut. Di samping itu, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terbabit.
45.
Pembanterasan jenayah termasuk jenayah jalanan yang menggusarkan rakyat sentiasa diberi perhatian serius oleh Kerajaan Beta. Indeks jenayah keseluruhan akan dikurangkan sebanyak 5 peratus dan jenayah jalanan seperti ragut dan samun dikurangkan sebanyak 20 peratus pada akhir tahun ini. Penempatan lebih ramai anggota Polis Diraja Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia di lokasi-lokasi panas telah mula menunjukkan impak positif.
46.
Peranan Angkatan Tentera Malaysia tidak terhad sebagai benteng pertahanan negara, malah turut terlibat dalam pelbagai misi pengaman di luar negara dan bantuan kemanusiaan. Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia di peringkat antarabangsa merupakan satu pengiktirafan kepada Malaysia sebagai salah sebuah negara yang terlibat dalam misi pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
47.
Beta menyeru seluruh rakyat supaya sentiasa memelihara dan mengharumkan nama dan maruah negara. Apa jua bidang sama ada reka cipta, novasi, sukan, kebudayaan, kesenian dan sebagainya yang disertai untuk mewakili negara hendaklah dilakukan dengan semangat juang yang tinggi. Dalam hubungan ini, Kerajaan Beta sentiasa memberi galakan dan sokongan untuk mendorong rakyat mencapai kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa. Bersatu padu dan bekerjasama rapat merentas batas parti serta ideologi politik demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara hendaklah sentiasa diamalkan. Hanya dengan semangat perpaduan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada negara akan membolehkan kita berjaya menangani sebarang cabaran yang mendatang.
48.
Sejak 2 penggal berturut-turut sebelum ini, Beta telah mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya menunjukkan sifat dan perilaku terpuji dalam Dewan yang mulia ini. Beta dukacita masih terdapat Ahli-Ahli Yang Berhormat mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak
mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat. Ketahuilah, Ahli-Ahli Yang Berhormat sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah berhujah dengan bernas dan tidak membangkitkan perkara remeh temeh yang boleh menjejaskan imej dan maruah sendiri
serta kemuliaan Dewan ini.
49.
Akhir titah, dalam persekitaran dunia masa kini yang semakin mencabar, Beta menyeru Ahli-Ahli Yang Berhormat, anggotaanggota Perkhidmatan Awam, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan seluruh rakyat agar bersama-sama menyumbang dengan meningkatkan kecekapan bagi mentransformasikan negara ke tahap ekonomi berpendapatan tinggi dan kualiti kehidupan rakyat yang lebih baik dan selamat. Beta dan Raja Permaisuri Agong sentiasa mendoakan semoga dengan usaha-usaha ini negara kita akan terus dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala dan dilimpahi kemakmuran serta kesejahteraan yang berkekalan.


Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Beri Komen?

Komen la apa nak komen,tapi kalau boleh gunakan bahasa yang orang boleh faham dan berfikir.