Lawatan sehari Raja Muda-Raja Puan Besar Perak ke Kerian

Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim bersalaman dengan pesakit Wahida Asnawi ketika mengadakan lawatan ke Hospital Parit Buntar. - foto BERNAMA
PARIT BUNTAR: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara hari ini berkenan melakukan lawatan sehari ke daerah Kerian bagi mendekati dan melihat sendiri kehidupan masyarakat daerah itu.
Raja Dr Nazrin Shah berangkat memulakan lawatan dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ke majlis taklimat pembangunan Kerian yang disampaikan Pegawai Daerah Ismail Hassan di Pejabat Daerah dan Tanah Kerian di sini.
Baginda kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Daerah Kerian di sini dengan diiringi pemimpin negeri dan masyarakat tempatan.
Sementara itu Tuanku Zara yang mempunyai jadual berasingan pula berangkat ke Hospital Parit Buntar dan berkenan menyampaikan sumbangan kepada para pesakit sebelum menghadiri majlis ramah mesra Puspanita serta masyarakat Kerian di Dewan Merdeka di sini.
Baginda turut menyampaikan hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia dan pertandingan mewarna dan aspek wanita.
Pada sebelah petang pula, Raja Dr Nazrin dan Tuanku Zara bersama-sama berangkat ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK (C)) Nam Hua di Tanjung Piandang dekat ini untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk miskin.
Raja Dr Nazrin turut menyampaikan replika cek bernilai RM550,000 kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kerian, Law Hee Hock untuk elaun sara hidup nelayan daerah itu daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.
Sementara itu Dr Zambry turut mengumumkan peruntukan kerajaan negeri kepada SRJK (C) Nam Hua RM100,000 bagi tujuan penambahan bangunan sekolah berkenaan.
Pasangan Diraja itu mengakhiri program lawatan dengan meninjau ternakan ikan jenis Kerapu, Jenahak dan Siakap dalam sangkar di kawasan laut dalam di Kuala Kurau bagi pasaran luar negara dan tempatan. - BERNAMA

One Response so far.

  1. salam...

    saya antara pesakit yg dilawat di wad kanak2 (anak saya) ... heee~ seronok dpt jumpa Zara

Beri Komen?

Komen la apa nak komen,tapi kalau boleh gunakan bahasa yang orang boleh faham dan berfikir.