Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li)



Yang Berhormat Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (lahir: 13 April 1937; juga dipanggil Ku Li) merupakan bekas Presiden Semangat 46 yang telah dibubarkan pada 1996 dan juga bekas Menteri Kewangan Malaysia 1976-1984. Beliau juga merupakan pengasas kepada Petronas(Petrolium Nasional Berhad).Kini, beliau merupakan Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan. Di peringkat akar umbi politik, beliau merupakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang.

Tengku Razaleigh merupakan putera Raja dan juga merupakan bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis dan dikhabarkan Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra ‘membahasakan’ Tengku Razaleigh dengan panggilan ‘Ayahanda’.

Dilahirkan kepada Tengku Hamzah yang lebih dikenali sebagai Tengku Serimah ataupun Tengku Seri Maharaja, Tengku Razaleigh mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Padang Garong, dan kemudiannya di Kolej Sultan Ismail (SIC) dan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang di Lincoln Inn, London. Tetapi hasratnya untuk menjadi peguam terbantut apabila bapanya sakit dan beliau terpaksa menguruskan perniagaan bapanya. Pada tahun 1959, Tengku Razaleigh mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Queen, Ireland. Cik Puan Noor Abdullah merupakan isteri Tengku Razaleigh.

Pada tahun 1962, Tengku Razaleigh menjadi ahli UMNO dan dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Ulu Kelantan. Pada tahun berikutan, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan dan Majlis Tertinggi UMNO. Tengku Razaleigh menjadi Ketua Perhubungan UMNO negeri Kelantan pada tahun 1967. Atas jemputan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, beliau bertanding bagi kawasan Dewan Undangan Negeri menentang Dato Asri Muda. Tengku Razaleigh menang dalam pilhan raya tersebut dan menjadi ahli Parlimen pada umur 37 tahun.

Atas permintaaan Tun Abdul Razak pada Pilihan Raya Umum 1974, Tengku Razaleigh bertanding kerusi Parlimen. Sewaktu itu, Majalah Time meramalkan beliau akan menjadi pemimpin utama di Malaysia. Pada zaman Tun Abdul Razak, Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengerusi Pernas, Petronas dan Bank Bumiputera. Sewaktu menjadi pengerusi Pernas, beliau melawat negara China dan merupakan orang Malaysia pertama menemui Perdana Menteri China, Chou En Lai. Seterusnya, Tun Abdul Razak berkunjung ke China. Jadi Tengku merupakan arkitek Persahabatan Malaysia-China 1974 yang membawa kejatuhan Parti Komunis Malaya.

Semasa Tengku Razaleigh memimpin Bank Bumiputera, beliau telah menjemput Wong Am Pui dan Dato Khoo Kay Peng melatih kakitangan Melayu agar mahir dalam pengurusan bank. Pada Julai 1974, Tengku Razaleigh menjadi Naib Presiden UMNO setelah kematian Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Beliau menjadi Naib Presiden UMNO selama tiga penggal berturut-turut sehingga 1978.

Pada 5 Mac 1976 hingga Julai 1984, Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai Menteri Kewangan dan setiap tahun membentangkan belanjawan negara di Parlimen melalui siaran secara langsung oleh RTM. Ketika itu, perkembangan ekonomi negara berkembang 6-8 peratus setahun. Beliau merupakan Menteri Kewangan yang paling lama sebelum diambil alih oleh Dato Daim Zainuddin dalam rombakan kabinet pada tahun 1984. Dalam rombakan tersebut, Tengku Razaleigh dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pada 24 April 1987, Tengku Razaleigh bersama Dato Musa Hitam mencabar regu Dr Mahathir dan Ghafar Baba dalam pemilihan parti sebagai Presiden dan Naib Presiden Parti UMNO. Malangnya, beliau ditewas 43 undi di tangan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kekalahan tersebut merupakan titik pusing kerjaya politiknya.
Selepas kekalahan ini, Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Datuk Rais Yatim. Semangat 46 bekerjasama dengan PAS dan DAP dalam Pilihan Raya Umum tahun itu tetapi gagal memenangi untuk membentukkan kerajaan. Cuma PAS berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan dan PBS berjaya menguasai kerajaan negeri Sabah. Selepas Semangat 46 dibubarkan 1996, Tengku Razaleigh dan Dato Rais Yatim menyertai UMNO semula.

Pada tahun 2000, beliau menawarkan diri untuk bertanding melawan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden dalam pemilihan parti UMNO namun kouta pencalonan sebanyak 30 peratus tidak mencukupi dari bahagian-bahagian UMNO. Pada masa yang sama, beliau juga cuba mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk jawatan Timbalan Presiden, namun juga gagal atas kuota. Selain itu, beliau juga gagal menepati kuota apabila ingin bertanding untuk jawatan Naib Presiden.



Pada tahun 2004, beliau cuba mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sebagai Presiden ketika itu, namun hanya bahagian Gua Musang mencalonkannya. Oleh itu beliau gagal menepati kuota.
Sekali lagi pada 2009, setahun selepas Pilihanraya Umum, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang sama menentang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengundurkan diri, kerana keputusan Barisan Nasional dalam pilihanraya yang merosot. Setakat ini hanya bahagian Gua Musang mencalonkannya.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Tengku Razaleigh Bin Tengku Mohd Hamzah bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional . Beliau telah bertanding di kawasan parlimen Gua Musang , negeri Kelantan. Tengku Razaleigh Bin Tengku Mohd Hamzah telah menang dengan mendapat undi sebanyak 14063. Calon lawan ialah Zulkefli Bin Mohamed dari PAS , mendapat 9,669 undi - Kalah . Peratus pengundi yang keluar ialah 83% . Undi rosak sebanyak 489

    * 1937: Dilahirkan pada 13 April.

    * 1959 (umur 22): Mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Queen's University, Ireland.

    * 1962 (umur 25): Menjadi ahli UMNO dan dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Ulu Kelantan.

    * 1963 (umur 26): Dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan dan Majlis Tertinggi UMNO.

    * 1967 (umur 30):Menjadi Ketua Perhubungan UMNO negeri Kelantan.
    * 1969 (umur 32): Bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri menentang Dato Asri Muda dan menjadi Ahli Parlimen.

    * 1972 (umur 35): Mendapat gelaran "Tan Sri".

    * 1974 (umur 37): (1) Bertanding kerusi Parlimen; (2) Menjadi Naib Presiden UMNO pada Julai setelah kematian Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan mengekalkan jawatan selama tiga penggal berturut-turut sehingga 1978.

    * 1976 (umur 39): Dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 5 Mac.

    * 1984 (umur 47): Dilantik sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian dalam rombakan kabinet pada bulan Julai.

    * 1987 (umur 50): (1) Mencabar regu Dr Mahathir dan Ghafar Baba bersama dengan Dato Musa Hitam dalam pemilihan parti sebagai Presiden dan Naib Presiden parti UMNO dan ditewas 43 undi di tangan Dr Mahathir pada 24 April; (2) Menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Dato Rais Yatim; (3) Gagal dalam Pilihan Raya Umum untuk membentuk kerajaan.

    * 1996 (umur 59): Menyertai UMNO semula selepas pembubaran Semangat 46.

Beri Komen?

Komen la apa nak komen,tapi kalau boleh gunakan bahasa yang orang boleh faham dan berfikir.